Anak syarikat salur RM6.5 juta untuk UUM
#REPOST UUMTODAY
SINTOK: Kumpulan Uniutama Management Holdings Sdn. Bhd. (UMHSB), anak syarikat Universiti Utara Malaysia (UUM), menyalurkan kira-kira RM6.5 juta dalam pelbagai bentuk kepada UUM dan aktiviti berkaitan universiti.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rodzi Lebai Karim berkata, tahun lalu aktiviti perniagaan kumpulan memberi keuntungan kepada UMHSB yang membolehkan syarikat berkenaan memberi pulangan balik dalam pelbagai bentuk kepada UUM.
Menurutnya, pemberian tunai pula untuk tahun lalu kira-kira RM2.3 juta iaitu RM400,000 adalah dividen UMHSB manakala RM1.9 juta merupakan pembayaran royalti Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd. (UECSB) kepada UUM.

“Untuk tahun lalu sahaja kita membayar zakat perniagaan kira-kira RM140,000 dan kita juga sedang berusaha untuk melaksanakan program untuk memanfaatkan kumpulan pelajar B40 UUM.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat untuk membolehkan kumpulan UMHSB dapat terus berkembang aktiviti perniagaannya di dalam dan luar kampus UUM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Mock Cheque Syarikat Kumpulan UMHSB kepada UUM yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, petang semalam.
Turut hadir Prof Dr. Ahmad Marthada Mohammed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof Dr. Osman Ghazali, Penolong Naib Canselor (UUM CAS); Prof Dr. Ram Al Jaffri Saad, Penolong Naib Canselor (UUM COB); Prof Madya Dr. Zainal Amin Ayub, Penolong Naib Canselor (UUM COLGIS) dan Dr. Mohd. Herry Mohd. Nasir, Pengurus Besar UECSB.

Pada majlis itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan UMHSB.
“Alhamdulillah, ketika banyak syarikat universiti lain tidak memberi pulangan, UMHSB memberi pulangan hasil perniagaan mereka kepada universiti dan membantu aktiviti universiti,” katanya.
Dalam majlis sama, anak syarikat berkenaan menyumbang RM10,000 kepada TISSA Edu Charity Golf 2023 yang berlangsung di Penang Golf Club pada 17 Jun lalu.
21 JUN 2023
KORPORAT UMHSB